JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menjelaskan keengganannya hadir merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita pada Khamis berpunca daripada tindakan tidak beradab dua sayap itu yang didakwa mengetepikan prosedur serta struktur parti.
Menurut beliau, tindakan penganjur yang melanggar hierarki kepimpinan parti tidak sewajarnya disambut dengan kehadirannya, apatah lagi beliau merupakan antara pimpinan tertinggi yang seharusnya dirujuk terlebih dahulu.
"Setiap organisasi bergantung kepada adab dan hierarki, kepada proses dan prosedur. Jadi adalah tidak adil apabila perkara itu dibuat untuk ketepikan saya dan menganggap saya terima semuanya.
"Mereka buat pelancaran kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bertindih dengan jadual kempen pemilihan saya agar ahli-ahli tidak hadir, sedangkan saya Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya PKR.
"Izzah (Nurul Izzah Anwar) dan Amir (Datuk Seri Amirudin Shari) paksa PKR Sabah buat begitu. Bagi saya itu adalah satu tindakan 'low blow, 'below the belt'," katanya.
**media[3138229]**
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas selesai menunaikan tanggungjawab pada Pemilihan PKR Peringkat Pusat di Hotel Berjaya Waterfront, di sini, pada Jumaat.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu turut memaklumkan, beliau sedia menerima sebarang keputusan pemilihan hari ini, khususnya melibatkan jawatan Timbalan Presiden PKR yang ditandinginya bersama Nurul Izzah Anwar.
"Bukan soal menang kalah, tetapi sebarang keputusan saya akan terima. Tidak timbul soal taat kepada parti kerana sesiapa yang kalah akan terus bekerja untuk parti.
"Sebaliknya intipati perjuangan asas PKR itu perlu dipertahankan, parti ini tertubuh atas kehendak dan gerakan rakyat, jangan sehingga kredibiliti parti dipertikai ahli dan juga masyarakat di luar," ujarnya.